SEPANG – Walaupun baru pertama kali menyertai perlumbaan Cabaran Vios di festival Toyota Gazoo Racing (TGR) pada musim keempat pelakon dan pelawak, Zizan Razak berjaya naik podium.
Pertempuran kategori selebriti dalam Kelas Promosi itu menyaksikan Zizan menjadi wira yang tidak dijangka dengan dua kemenangan di perlumbaan pertama dan kedua.
Menurut Zizan, dia berterima kasih kepada Toyota dan semua rakannya dalam perlumbaan itu kerana dia bukan sahaja belajar perkara baru malah berjaya menamatkan perlumbaan 18 pusingan itu.
“Saya menjangkakan persaingan yang sengit sejak awal terutamanya seperti Shukri Yahaya dan Nabil Ahmad.
“Saya tahu mereka lebih cekap kerana mereka mempunyai pengalaman bertanding pada musim sebelumnya tetapi apa yang dapat saya katakan adalah pengalaman saya setakat ini sangat mengujakan,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat pelumbaan kedua di Litar Antarabangsa Sepang di sini hari ini.
Tempat kedua disandang oleh penyanyi, Khai Bahar dan selebriti, Ahirene Ahirudin di tempat ketiga.
Selain Kelas Promosi, keputusan untuk Kelas Super Sporting disandang oleh Tengku Djan Ley selaku juara, tempat kedua, Boy Wong dan tempat ketiga Mark Darwin.
Manakala untuk Kelas Sporting, Haji Sultan Mustaffa Salihin mendapat tempat pertama, Eric Yong tempat kedua dan tempat ketiga, Adam Khalid.
Bagi Kelas Rookie, tempat pertama disandang Naquib Azlan, tempat kedua Jwan Hii dan tempat ketiga, Amer Harris.-K!ONLINE