PENYERANG prolifik Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil muncul wira apabila meledak gol kemenangan pasukannya untuk menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 1-0 pada separuh akhir pertama Piala TNB semalam.
Kemenangan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu menyaksikan UniKL kini berada pada landasan tepat untuk memburu gelaran ketiga mereka musim ini selepas terdahulu menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL).
Bagaimanapun, ia masih belum menjamin kedudukan selesa buat UniKL kerana TNB masih berpeluang mengubah situasi untuk mencari tiket ke final menjelang aksi separuh akhir kedua Piala TNB di Stadium Hoki Nasional pada Rabu ini.
Ketua jurulatih UniKL, Megat Azrafiq Megat Termizi tentunya bakal merencana strategi baharu bagi membolehkan anak-anak buahnya mencipta lebih banyak peluang terutama selepas meraih tiga pukulan sudut penalti sahaja dalam aksi itu.
Pandangan berbeza pengendali TNB, Nor Azlan Bakar yang menggesa barisan pemainnya agar memanfaatkan peluang apabila di hadapan gawang gol selepas memiliki lima pukulan sudut penalti dalam tempoh 60 minit permainan itu.
“Permainan seimbang sebenarnya kerana masing-masing mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Namun, sayangnya kami tidak memanfaatkan peluang daripada beberapa pukulan sudut penalti hari ini (semalam),” katanya.
Sebagai rekod, Tengku Ahmad Tajuddin meledak gol tunggal perlawanan apabila dia menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-56 selepas Harvinder Singh Makbul Singh dijatuhkan dalam kawasan D pasukan TNB.
Gol itu mengubati kekecewaan UniKL yang terlebih dahulu dibatalkan jaringan selepas bola didakwa sudah terkena kaki kapten, Muhammad Marhan Mohd. Jalil sebelum dia menyungkit bola masuk ke dalam gawang gol TNB pada minit ke-48.