fbpx

Sheryl Shazwanie tak sedih belum popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHERYL SHAZWANIE

PEMALU! Frasa tersebut sangat sesuai untuk menggambarkan keperibadian si manis bernama Sheryl Shazwanie.

Sudah bertahun-tahun mengemudi karier nyanyian, namun tidak keterlaluan jika pemilik nama sebenar Sheryl Shazwanie Shamsulbahri itu dikatakan kurang menyerlah berbanding rakan seangkatannya.

Dia terlihat selesa dalam ruang sendiri sehingga namanya tenggelam timbul dan kurang diingati berbanding ramai teman seperjuangan yang memacu laju memahat nama dalam industri.

Tidak menolak realiti tersebut, anak jati Petaling Jaya, Selangor itu mengakui masih tercari-cari kekuatan untuk keluar dari kepompong sendiri.

MESKIPUN sudah lebih lima tahun bernyanyi, namun populariti masih belum menyinggah dalam hidup Sheryl untuk memacu kariernya jauh ke depan mengejar rakan seangkatan yang lain.

“Bukan tidak pernah mencuba untuk keluar dari zon selesa tetapi susah sebenarnya.

“Sejak kecil memang saya seorang pemalu dan sifat itu terbawa-bawa sehingga sudah bergelar anak seni.

“Lebih risau, sifat gemuruh atau ‘stage fright’ saya semakin menebal kerana sudah lama tidak membuat persembahan di hadapan umum disebabkan pandemik Covid-19,” ujarnya kepada HibGlam baru-baru ini.

Sheryl yang kini berusia 24 tahun bagaimanapun menegaskan dia masih berusaha untuk membuang sifat pemalu yang sememangnya sudah bersarang dalam dirinya.

SIKAP pemalu yang ada dalam dirinya masih tebal ditambah pula kini dia sudah lama tidak dapat bertemu peminat gara-gara penularan Covid-19.

“Ramai yang sudah tegur tentang sifat ini sehingga ada yang meminta saya menukar genre nyanyian daripada balada kepada lagu lebih rancak supaya lebih berani dan boleh beraksi lincah.

“Saya pernah cuba tetapi tidak kena dengan jiwa atau mungkin sudah selesa dengan genre balada. Biarlah orang nak kata saya tidak berani mencuba sekalipun, saya lebih mengenali diri sendiri,” tuturnya.

Penyanyi yang baru muncul dengan single bertajuk Jangan Ragu ciptaan Asfan Shah itu mendedahkan kekasih hatinya, Azzam Sham juga pernah berkongsi panduan untuk mengatasi perasaan gemuruh yang membelenggu diri.

“Dia selalu juga berkongsi tip untuk hilangkan rasa gemuruh. Insya-Allah saya akan cuba praktikkan apa yang Azzam ajar,” ujarnya ringkas.

Belum rezeki

Disoal sama ada dia pernah dihurung kesedihan kerana nama rakan-rakan seperjuangan jauh berada di hadapan berbanding dirinya, Sheryl menjawab rezeki belum tiba.

Dia tidak mahu terlalu memikirkan isu populariti kerana baginya kualiti nyanyian lebih penting untuk dihidangkan kepada umum.

SHERYL tetap optimis bahawa rezekinya untuk menyinar akan tiba suatu hari nanti.

“Saya percaya dengan apa yang Tuhan berikan. Memang karier saya berjalan sedikit perlahan, mungkin kerana belum sampai rezeki untuk nama saya meledak dalam industri.

“Tidak pernah kecil hati dan masih banyak lagi saya perlu belajar walaupun sudah bertapak dalam industri lebih lima tahun.

“Biar lambat, asalkan saya dapat berikan kualiti yang terbaik,” katanya lagi.

ENGGAN namanya tercalar dek hanya kerana mahu mengejar populariti, Sheryl memilih jalan untuk tenang mengemudi karier tanpa memanas atau dihambat kontroversi.

Tidak mengenal erti kalah meskipun belum menyinar, dia percaya rezekinya akan tiba satu hari nanti. Lebih penting dia tidak perlu mencetuskan kontroversi yang mencalar nama sendiri.

“Biarlah begini, saya yakin ada lagi cebisan peluang untuk saya dikenali. Rasanya, tak perlu juga ada kontroversi untuk mencapai populariti.

“Jadi diri sendiri sahaja,” katanya yang memasang impian untuk muncul dengan lagu ciptaan sendiri satu hari nanti.

Akhiri zaman bujang

Diusik manja sama ada dia dan Azzam mempunyai perancangan untuk menghalalkan hubungan, Sheryl tidak menafikan kenyataan tersebut.

“Kami ada berbincang tentang perkara tersebut. Memang ada niat untuk menukar status hubungan.

“Tetapi untuk bercerita lebih lanjut, biarlah Azzam sendiri yang buka mulut.Doakan yang baik-baik untuk kami,” katanya tersipu malu.

SERIUS dalam perhubungan, Sheryl dan Azzam sebenarnya sudah berbincang untuk membawa hubungan ke gerbang perkahwinan.

Tidak meletakkan sebarang sasaran umur untuk mendirikan rumah tangga, pelantun lagu Perasaan itu bagaimanapun memberitahu zaman bujangnya tidak akan berakhir pada tahun ini.

“Saya sudah bersedia tetapi mungkin bukan pada tahun ini,” katanya ringkas sebelum mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI