KOTA BHARU – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedia kembali dikuatkuasakan jika rakyat Kelantan terus bersikap degil dengan enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyebabkan peningkatan kes Covid-19.
Sehubungan dengan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr. Izani Husin memohon agar seluruh lapisan masyarakat mematuhi SOP dan terus mengamalkan budaya norma baharu yang telah ditetapkan.
Menurutnya, beliau bimbang wabak Covid-19 kembali menular di negeri ini kerana kadar nilai kebolehjangkitan (Rt ) di Kelantan adalah yang tertinggi di Malaysia ketika ini.
“Jika Rt tidak turun, kita boleh jangka kes Covid-19 akan meningkat dengan mendadak berbanding biasa.
“Apabila kes naik, Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan PKP di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu memberitahu, perlaksanaan kembali PKP di negeri ini bakal memberikan kesan buruk kepada semua pihak.-K!ONLINE