fbpx

Satu jam tahan sakit kaki tersepit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemalangan membabitkan lori tangki minyak dan sebuah teksi di Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran Sungai Dohol, Kota Tinggi, Johor hari ini.

KOTA TINGGI – Seorang pemandu lori tangki terpaksa menahan sakit kira-kira satu jam akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya terlibat kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran Sungai Dohol di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Azman Jantan berkata, kemalangan melibatkan lori tangki membawa muatan minyak dan sebuah teksi jenis Toyota Camry yang mengakibatkan tiga mangsa cedera.

Katanya, pihak bomba menerima laporan kejadian pada pukul 10.52 pagi sebelum seramai 12 anggota dengan kekuatan sebuah jentera dan kenderaan EMRS dihantar ke lokasi kejadian.

“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu berusia 58 tahun tersepit di dalam lori. Pihak bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk membuat kerja-kerja penyelamatan yang mengambil masa kira-kira satu jam.

“Mangsa mengalami kecederaan patah pada kedua belah kaki selepas bahagian hadapan lori remuk akibat terbalik dalam kejadian itu.

“Manakala dua mangsa yang menaiki teksi telah berjaya keluar sendiri daripada kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak ambulans untuk menerima rawatan selanjutnya sementara kerja-kerja pengalihan lori tangki minyak masih sedang dijalankan.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya memaklumkan berkenaan penutupan sementara jalan Jalan FT003 sec. 63.7 (Jambatan Sungai Dohol) ekoran kerja – kerja pembersihan minyak yang sedang dijalankan akibat dari kemalangan tersebut.

Menurut kenyataan itu, pengguna jalan raya dari Kota Tinggi boleh menggunakan jalan alternatif dari Kota Tinggi, simpang Mawai, Tanjung Sedili dan keluar melalui simpang Felda Tenggaroh untuk ke Mersing.

Sementara pengguna dari Mersing boleh melalui simpang Felda Tenggaroh, Tanjung Sedili seterusnya simpang Mawai bagi melancarkan perjalanan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI