fbpx

Penjaga stor jadi orang tengah seludup beras 26 tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RIZAL ( dua dari kiri), Mohammad Ashik (kanan) dan Muhammad Shahril menunjukkan beras dari India yang dirampas pada sidang akhbar di Bernas, Pelabuhan Klang.

KLANG – Perbuatan jahat seorang penjaga stor warganegara India menjadi orang tengah penyeludupan beras sejak enam bulan lalu terbongkar dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Telok Gadong di sini, kelmarin.

Serbuan Ops Kontraban pukul 12.10 tengah malam itu turut menahan dua lagi lelaki dengan kesemuanya berusia 26 hingga 38 tahun dan merampas 26 tan beras pelbagai jenama termasuk jenis Basmathi Pusa yang berkualiti tinggi bernilai keseluruhan RM2.5juta.

Pegawai Pemerintah Batalian 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, pihaknya terlebih dahulu menahan tiga lelaki termasuk warga India dalam keadaan mencurigakan yang memunggah guni berwarna putih dari sebuah kontena ke stor premis itu.

Katanya, pemeriksaan kemudiannya menemui 259 kampit beras, guni beras (78) dan kotak beras (60) pelbagai jenama seberat 13 tan dipercayai diseludup dalam trailer kontena itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut di gudang premis itu menemui lagi 459 kampit beras, kotak beras (200) dan guni beras (214) dengan anggaran berat 13 tan.

“Jumlah keseluruhan anggaran nilai rampasan termasuk trailer sebanyak RM2,659,474,” katanya pada sidang akhbar di Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor, Mohammad Ashik Abdul Rahman dan Ketua Pencegahan dan Pemantauan Bernas, Datuk Muhammad Shahril Muhammad Adzmin.

Rizal memberitahu, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek bekerja di premis itu dengan lelaki warganegara India bekerja sebagai penjaga stor dan hasil siasatan lanjut  mendapati lelaki warga India itu menjadi orang tengah antara sindiket di negara ini dengan pembekal beras dari negara berkenaan.

“Lelaki warga India yang sudah sembilan tahun bekerja dengan gaji sebanyak RM3,000 sebulan itu didapati menjadi orang tengah antara sindiket di negara ini dengan pembekal beras dari negara berkenaan.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Klang untuk proses dokumentasi dan laporan polis sebelum diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor,” ujarnya.

Sementara itu, Mohammad Ashik memberitahu, beras yang dirampas adalah termasuk jenis Basmathi Pusa 1121 yang berkualiti tinggi bagaimanapun katanya, beras yang dibawa masuk dan tidak berada di pasaran tempatan itu tidak mempunyai label yang mengikut spesifikasi ditetapkan iaitu tidak mempunyai tulisan dalam Bahasa Melayu selain tidak mempunyai gred dan sebagainya.

“Pada kebiasaannya beras jenis ini dijual pada harga antara RM5.50 sehingga RM12 satu kilogram dan ia merupakan antara beras yang popular di negara mereka,” katanya pula.

Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 552) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM25,000 dan semua barangan dirampas.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI