PETALING JAYA – Polis sedang mengesan penganjur termasuk kira-kira 50 tetamu yang hadir ke sebuah pertunjukan fesyen jenama terkenal, Rabu lalu yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kesemua mereka dikesan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 22 (a) akta pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit 1988.
Katanya, pihak polis akan membuat semakan daftar kehadiran mereka melalui aplikasi ‘MySejahtera’.
“Semakan polis terhadap video yang tular itu mendapati tetamu yang hadir gagal mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Penganjur juga didapati telah memuat naik pelbagai gambar sepanjang berlangsungnya majlis yang dihadiri kira-kira 50 tetamu dengan tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan sosial,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, sebuah foto tular di laman Twitter memaparkan penganjuran sebuah pertunjukan fesyen jenama terkenal di Glamhall, Damansara Perdana didakwa tidak mematuhi SOP sepanjang acara itu berlangsung pada Rabu lalu.
Difahamkan, kebanyakan tetamu yang hadir pada acara berkenaan dipercayai tidak memakai pelitup muka dan kedudukan kerusi tetamu juga diletakkan rapat-rapat tanpa ada penjarakan fizikal seperti yang disarankan MKN. – K! ONLINE.