fbpx

Laila mahu panggilan skuad kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAILA berharap prestasinya bersama NS Venom sepanjang saingan NSL dapat kembali membuka mata ketua jurulatih skuad kebangsaan.

KAPTEN Negeri Sembilan (NS) Venom, Nur Lailatulladhawiyah Che Yahaya menyimpan hasrat untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan di pentas antarabangsa sejak menjalani pembedahan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di lutut kiri dua tahun lalu.

Pemain yang mesra disapa dengan panggilan Laila itu berharap prestasinya bersama NS Venom sepanjang saingan Netball Super League (NSL) ketika ini dapat kembali membuka mata ketua jurulatih skuad kebangsaan.

“Saya sudah berada dalam skuad kebangsaan tetapi kemudian saya mengalami kecederaan dan terpaksa menjalani pembedahan lutut kiri. Sepanjang tahun lalu tiada kejohanan, jadi ini adalah perlawanan pertama selepas pembedahan.

“Kecederaan ACL sebelum ini tidak menghalang permainan saya kerana niat saya memang mahu kembali lebih bagus selepas pembedahan. Lagi pun saya masih belum puas bermain untuk skuad kebangsaan.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi walaupun pernah bermain pada Kejohanan Asia 2018. Namun, saya masih mahu bermain di Sukan SEA, malangnya saya terlepas edisi 2019 (Manila, Filipina) disebabkan ACL,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Penampilan Laila, 23, mencuri tumpuan ramai disebabkan gelagatnya mengawal goal shooter sensasi skuad kebangsaan, An Najwa Azizan dalam dua aksi antara NS Venom menentang Selangor Angels di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, gadis yang menggemari aktiviti lasak seperti wall climbing itu masih gagal ‘merantai’ An Najwa daripada melakukan jari­ngan yang menyaksikan Selangor Angels menang 56-31 pada Jumaat dan 52-35 kelmarin.

“Saya dengan An Najwa sebaya, jadi memang pernah kawal dia sejak dari Tingkatan Satu. Setiap tahun kalau ada perlawanan kebangsaan, saya mesti akan kawal dia termasuk dalam latihan skuad kebangsaan.

“Saya anggap semua pemain setaraf, tiada lebih atau kurang kerana itu dapat membantu dari segi mental dan tidak meletakkan tekanan pada diri sendiri. Kami sudah cuba sehabis baik dalam dua perlawanan ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI