IPOH – Kerajaan akan memberi tumpuan kepada negeri-negeri yang merekodkan jumlah paling rendah individu berdaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, perhatian perlu diberikan kepada perkara itu bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti punca rakyat masih tidak mendaftar untuk menerima suntikan imunisasi.
“Kita mahu tahu mengapa (alasan tidak daftar) untuk kita bantu mereka sekali gus menyelesaikan masalah ini.
“Mungkinkah mereka ini tidak faham, takut atau dalam kalangan anti vaksin, jadi tindakan segera boleh diambil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin di Dewan Serbaguna, Menara Tabung Haji di sini hari ini.
Laporan akhbar sebelum ini menyebut jumlah individu yang berdaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera semakin perlahan dengan ketara.
Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah di Facebook minggu lalu, dua negeri merekodkan jumlah terendah individu berdaftar iaitu Sabah dengan 9.4 peratus atau 274,438 penduduk dan Kelantan pula mencatatkan 13.1 peratus atau 161,627 penduduk.
Empat negeri lain turut merekodkan peratusan daftar imunisasi rendah sejak pendaftaran dibuka pada 23 Februari lalu iaitu Perlis dengan 20.4 peratus diikuti Kedah (19.4 peratus), Pahang (19.2 peratus) dan Terengganu (18.1 peratus). – K! ONLINE.