LONDON – Pemain tengah Chelsea, Jorginho tidak menolak kemungkinan untuk kembali beraksi di Serie A bersama bekas kelabnya, Napoli.
Pemain antarabangsa Itali itu kini mengharungi musim ketiganya di Stamford Bridge selepas mengikut jejak pengurus kegemarannya, Maurizio Sarri pada musim panas 2018.
Jorginho mengakui bahawa walaupun sudah agak lama berada di London, dia masih berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri sambil menyifatkan Napoli sentiasa berada di hatinya.
“Tidak ada perkataan yang mampu saya gambarkan mengenai kerinduan saya terhadap Napoli. Sesiapa sahaja akan rindukan Naples. Cuaca di London sangat sejuk, di sini mereka tidak tahu apakah itu matahari,” katanya.
Pemain berusia 29 tahun itu akan tamat kontrak bersama Chelsea pada 2023 dan belum ditawarkan kontrak baharu biarpun dia kini menjadi tonggak penting di bawah kendalian Thomas Tuchel.
Jorginho berjaya membuat 126 penampilan bersama Chelsea setakat ini dan meledak 16 gol sepanjang tiga musim dalam semua kejohanan.
Dalam pada itu, ejennya, Jorge Santos juga tidak menolak kemungkinan kliennya itu akan kembali ke Napoli pada masa hadapan.
“Jika Napoli membuat tawaran, kami akan menilai dan mempertimbangkannya. Dia melalui tempoh yang cemerlang di Naples selain memiliki ramai rakan di sana,” jelasnya. – AGENSI