fbpx

Jadi bijak urus wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
Wartawan Eksekutif, Nor Azihan Md.Ghazali

MESKIPUN pelbagai usaha ke­sedaran telah dilakukan kerajaan dan pihak berkuasa, namun masih ramai individu yang terjebak dengan pinjaman wang tidak berlesen atau ah long.

Apa yang menyedihkan, individu yang gagal menjelaskan pinjaman bukan sahaja diugut, bahkan juga pasangan dan anak-anak mereka turut menjadi ­mangsa.

Selain ugutan akan dicederakan, mereka juga menerima ugutan rumah dibakar dan bunuh.

Kenapa perkara ini masih berlaku. Apakah faktor-faktor yang mendorong individu tersebut membuat pinjaman walaupun menyedari implikasi yang bakal dihadapi? Berapa jumlah kerugian berkaitan aktiviti itu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bu­kit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, rata-rata peminjam yang membuat pinjaman dengan ceti haram merupakan golongan yang terdesak.

“Mereka terdiri daripada go­longan peniaga yang mahu me­mulakan perniagaan dan ma­hu menambah saiz perniagaan.

“Namun ada juga yang me­minjam kerana terlibat dengan aktiviti judi dan sebagainya. Ti­dak kurang juga yang tidak la­yak membuat pinjaman dengan pihak perbankan ekoran nama sudah disenarai hitamkan,” ujar­nya.

Jelasnya, pelbagai langkah te­lah dilakukan dalam memberi kesedaran, namun masih ramai yang degil dan nekad membuat pinjaman.

Menurutnya, berdasarkan sta­tistik kes ah long yang direkodkan pada tahun 2019, seba­nyak 1,223 kes dicatatkan melibatkan kerugian RM18.1 juta.

“Dalam tempoh itu, seramai 1,230 ah long telah ditahan dan 322 sudah dituduh di mahkamah. Bagi tahun 2020 pula, seba­nyak 1,083 kes dilaporkan de­ngan ke­ru­gian RM5.7 juta membabitkan 1,068 tangkapan,” ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pendi­dikan Isi Rumah, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, S Nirmala berkata, lemah peranca­ngan kewangan ialah punca utama individu sanggup membuat pinjaman ah long.

Menurut beliau, ia diikuti de­ngan masalah kos sara hidup tinggi, kegagalan dalam perniagaan, hilang pekerjaan dan per­belanjaan perubatan yang tinggi.

Justeru itu, katanya, orang ramai perlu meningkatkan ilmu pengurusan kewangan dan rancang dengan membuat bajet bulanan dalam menguruskan aliran tunai selain berjimat dan belanja di bawah kadar kemampuan.

“Menerusi pengurusan kewa­ngan yang mantap, orang ramai menjadi lebih cakna mengenai jenis pinjaman atau kredit yang diambil serta tahu akan jumlah, tempoh dan akibat (penalti atau denda) jika pembayaran bulanan tidak dilaksanakan dengan tepat,” katanya.

Tambahnya, jika orang ramai berdepan masalah kewangan, me­reka perlu bijak membuat ke­putusan dengan mendapatkan khidmat nasihat dan pinjaman ke­wangan daripada institusi ber­daftar di bawah seliaan Bank Negara Malaysia bukan melalui pinjaman tidak sah.

“Menggunakan jalan pintas untuk mendapatkan pinjaman segera adalah tidak wajar kerana ia bukan jalan penyelesaian jangka panjang, sebaliknya akan mendatangkan kemudaratan kepada peminjam dan keluarga kelak,” katanya.

Katanya, sejak Januari hingga Disember tahun lalu, seramai 156,994 rakyat negara ini telah dibantu melalui bantuan pengurusan bebas hutang dan khidmat nasihat kewangan.

Secara tuntasnya, orang ramai perlu bijak menguruskan aspek kewangan termasuk membuat ta­bungan agar mereka tidak berhadapan dengan masalah kewa­ngan lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 melanda negara ini.

Jangan terlalu boros dan sentiasa berjimat cermat, beli apa yang perlu sahaja, itu antara ‘rahsia’ yang boleh menghindarkan seseorang daripada terjebak ke kancah kewangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI