MESKIPUN hanya berusia 13 tahun, Muhammad Hakim Danish mempamerkan aksi cukup membanggakan pada perlumbaan Idemistu Asia Talent Cup (ATC) apabila berjaya merangkul podium keduanya di Qatar semalam.
Pelumba kelahiran Terengganu tersebut yang memulakan saingan di petak kedua dilihat tidak bermula baik sewaktu di grid perlumbaan, namun Hakim Danish memperbaiki setiap pusingan perlumbaan.
Ketinggalan di pertengahan perlumbaan, Hakim tidak mengenal erti putus asa meskipun ia merupakan penampilan sulung pada saingan tersebut apabila memberi tentangan cukup hebat kepada tiga pelumba Jepun di hadapannya.
Pada pusingan terakhir, Hakim tidak menoleh kebelakang dan terus memecut laju di laluan lurus Litar Antarabangsa Losail sebelum mengakhiri saingan di tempat ketiga.
Keputusan itu menjadi permulaan terbaik buat pelumba cilik negara untuk mengulangi pencapaiannya dengan mengakhiri perlumbaan pusingan pertama di kedudukan ketiga malam kelmarin.
Rakan sepasukan Hakim iaitu Danial Syahmi Ahmad Shahril yang pada mulanya memberi tentangan kepada tiga pelumba teratas terpaksa berpuas hati mengakhiri saingan tempat keenam manakala Sharul Ezwan Sharil tempat kelapan.
Juara perlumbaan tersebut dimenangi pelumba Jepun, Taiyo Furusato dan tempat kedua menjadi milik rakan senegaranya, Kanta Hamada.