LIVERPOOL – Everton dilaporkan melakukan percubaan ketiga untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan Manchester United, Diogo Dalot.
Kelab dari Merseyside itu sebelum ini telah dua kali gagal untuk mendapatkan pemain tersebut ketika jendela perpindahan musim panas 2019 dan 2020 biarpun musim lalu mereka hampir merealisasikan impian tersebut sebelum rundingan berkenaan menemui kegagalan.
Percubaan kali ketiga ini dilihat lebih sukar apabila United mengesahkan bahawa mereka enggan melayan sebarang tawaran untuk mendapatkan pemainnya itu selepas Dalot yang beraksi secara pinjaman bersama AC Milan ketika ini berjaya membuktikan kemampuan sebenarnya.
Pemain berusia 22 tahun itu sudah beraksi dalam 18 perlawanan bersama Milan dan menjadi tonggak penting pasukan yang berpangkalan di San Siro itu, namun Everton menagih khidmatnya yang dilihat sebagai pengganti jangka panjang untuk Seamus Coleman.
Everton dilaporkan lebih berminat untuk mendapatkan Dalot berbanding pilihan seperti Tariq Lampety dan Max Aarons kerana dia memiliki susuk tubuh yang tinggi dan kemampuannya beraksi di bahagian pertahanan kanan dengan baik.
United menandatangani pemain itu dari FC Porto pada 2018, namun mereka lebih cenderung untuk menggunakan khidmat Aaron Wan Bissaka sebagai pilihan pertama di posisi berkenaan dan Dalot masih mempunyai baki kontrak selama dua musim di Old Trafford. – AGENSI