PUTRAJAYA – Kerajaan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM1.25 juta sehari berikutan kelewatan kerajaan negeri Selangor membuat keputusan berhubung penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang).
Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, projek mega itu telah tertangguh selama 12 bulan dan tiada alasan untuk dilengah-lengahkan kerana kelewatan lebih panjang hanya akan mengganggu keseluruhan projek itu yang dijangka siap pada Disember tahun 2026.
“Perlu diingat bahawa projek ini melibatkan peruntukan yang besar jadi sekarang ini akibat daripada kelewatan atau lambatnya kerajaan negeri Selangor membuat keputusan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM1.25 juta sehari.
“Kita telah memberikan semua penjelasan kepada kerajaan negeri Selangor dan saya rasa sepatutnya tiada alasan untuk dilengah-lengahkan sebab semakin lama ditangguh, ia akan mengganggu keseluruhan projek,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Buku 365 Hari Apsirasi dan Cabaran Mohd. Zuki Ali di Bora Ombak Marina Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Khairul Adib Abd. Rahman dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Sallehhuddin Hassan.
Buku setebal 261 muka surat itu merupakan karya sulung Mohd. Zuki yang menghimpunkan 19 ucapan, tiga wawancara dan dua artikel beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara sepanjang tahun 2020.
Ia merupakan adunan daripada kumpulan amanat, ucaptama dan ucapan serta turut diperjelaskan menerusi wawancara dan artikel media yang besesuaian bagi menggambarkan pemurnian hasrat dan cetusan idea oleh beliau sebagai pemimpin utama sektor awam di negara ini. -K! ONLINE.