TANGKAK – Seorang bapa meninggal dunia bersama anaknya selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah teres di Jalan Manja, Kampung Baru 1 di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, mangsa meninggal dunia masing-masing berusia 52 dan 15 tahun.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.50 pagi.
Menurutnya, seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan Bukit Gambir dikejarkan ke lokasi kejadian bersama lima buah jentera.
“Sejurus Pasukan Keluar Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian, mereka dapati benar berlaku kebakaran ke atas dua buah rumah separuh kekal.
“Kebakaran memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan dua buah rumah teres dua tingkat berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rafiah berkata, sejurus api berjaya dipadam pihaknya menemui dua mayat pada bahagian atas rumah berkenaan yang terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.
Katanya, bomba mengambil masa kira-kira hampir dua jam untuk memadamkan kebakaran sebelum mengeluarkan mayat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, operasi ditamatkan pada pukul 1.58 tengah hari tadi.-K! ONLINE