LOS ANGELES – Bekas petinju sensasi Amerika Syarikat (AS), Oscar De La Hoya mengesahkan akan kembali membuat kemunculan di gelanggang profesional pada Julai depan dengan potensi pertarungan berdepan legenda tinju antarabangsa, Floyd Mayweather.
Sebagai rekod, De La Hoya telah membuat keputusan untuk bersara sepenuhnya pada tahun 2008 sejurus selepas tewas kepada petinju No. 1 Asia, Manny Pacquiao.
Kata De La Hoya, keputusan untuk kembali bertarung di gelanggang dibuat selepas menyaksikan prestasi yang dipamerkan oleh seorang lagi petinju legenda yang juga bekas juara dunia, Mike Tyson pada November lepas.
“Saya akan kembali semula bertarung di gelanggang pada 3 Julai depan. Keputusan ini diambil selepas menyaksikan Tyson masih berbisa meskipun telah berusia 54 tahun dan memberi banyak inspirasi buat saya,” katanya.
Bagaimanapun, De La Hoya tidak mengesahkan dengan siapa yang bakal dia bertemu di gelanggang pertarungan nanti tetapi berdasarkan sumber rapat, individu yang dicadangkan adalah Mayweather.
Difahamkan, De La Hoya sangat berminat untuk membuat pertarungan semula dengan Mayweather yang pernah menewaskannya pada tahun 2007.
Perlawanan tersebut turut dianggap sebagai antara yang termewah sepanjang zaman apabila berjaya mengumpul wang tunai AS$150 juta (RM621.97 juta ).
Malah, Mayweather sebelum ini pernah menawarkan untuk bertarung semula dengan De La Hoya pada 2015 tetapi ditolak kerana sudah bersara sepenuhnya dan tidak berminat untuk kembali ke gelanggang.
Susulan itu, Mayweather telah bersara buat kali kedua pada penghujung 2015 dengan mengekalkan rekod tanpa tewas dalam karier profesionalnya dengan keputusan 49-0. – AGENSI