PRAGUE – Penyerang Belgium, Romelu Lukaku menyelamatkan maruah pasukan itu selepas menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 menentang Republik Czech pada aksi kelayakan Piala Dunia di Stadium Sinobo awal pagi semalam.
Meskipun berkongsi satu mata, namun jurulatih Belgium, Roberto Martinez mengakui tetap gembira kerana bangkit daripada ketinggalan hasil jaringan Lukas Provod.
Bekas pengurus Everton itu berkata, Czech menampilkan aksi yang cukup baik sehingga memaksa beliau untuk melakukan perubahan taktikal.
“Kami berada dalam kesukaran sepanjang perlawanan kerana Czech bermain sangat bagus. Kami ambil masa yang agak lama untuk sesuaikan diri dengan perlawanan.
“Saya gembira kerana kami tingkatkan tempo permainan selepas mereka jaringkan gol. Kami perlu baiki kelemahan ini pada perlawanan akan datang,” kata Martinez.
Sementara itu, beliau juga belum pasti sama ada mahu merehatkan Lukaku dan Kevin De Bruyne ataupun tidak menjelang aksi menentang Belarus awal pagi Rabu nanti.
“Bagi perlawanan seterusnya, kami perlu lihat keadaan semua pemain terlebih dahulu. Setiap pemain perlukan rehat kerana bermain tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari bukan perkara mudah,” ujarnya. – AGENSI