ISLAMABAD – Seorang lelaki di daerah Chakwal, wilayah Punjab, Pakistan membelanjakan wang lebih 35,000 rupee (RM2,000) untuk mencabar saman kerana kesalahan trafik berjumlah cuma 300 rupee (RM17), lapor akhbar Gulf News, kelmarin.
Saman itu dikeluarkan Polis Lebuh Rraya Nasional (NHMP) pada 27 Februari lalu atas kesalahan menggunakan nombor plat pendua yang tidak mengikut spesifikasi pada kenderaannya.
Lelaki tersebut, Mohammed Noman Awan perlu melantik seorang peguam dan menanggung perbelanjaan perjalanannya selain kos guaman untuk mengemukakan petisyen bertulis terhadap NHMP.
Lelaki itu turut meminta Mahkamah Tinggi Islamabad membatalkan saman tersebut.
Peguam bela, Saad Safdar berkata, ia bukan soal saman berjumlah hanya 300 rupee tetapi melibatkan persoalan undang-undang yang ‘lebih besar’ dan memerlukan campur tangan mahkamah.
“Di bawah Ordinan Kenderaan Bermotor 1956, hanya Lembaga Pendaftaran Kenderaan Bermotor mengeluarkan plat nombor pendaftaran khusus dan mempunyai ukuran dan bentuk serupa.
“Namun, lebuh raya tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Undang-undang Punjab dan wilayah lain tidak terpakai di sana,” katanya selepas sesi pendengaran di mahkamah semalam.
Peguam itu mendakwa, tiada peruntukan yang menyebut tentang ketidakwajaran penggunaan plat pendua dalam Ordinan Lebuh Raya Nasional dan Keselamatan 2000.
Hakim, Babar Sattar telah mendengar petisyen itu dan akan mengemukakan balasan terperinci pada 29 April ini. – Agensi