KOTA KINABALU – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tergantung di ruang tamu rumahnya di Kampung Kiapad, Inanam petang semalam.
Kejadian tersebut disedari kira-kira pukul 5 petang selepas bapa mangsa yang tinggal bersebelahan datang ke rumah terbabit untuk bertemu anaknya.
Terkejut melihat keadaan anaknya, bapa mangsa kemudian bertindak menurunkan mayat lelaki berusia 22 tahun itu sebelum membuat panggilan kecemasan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Likas yang berada di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepasukan polis dikerah ke lokasi terbabit sebaik menerima maklumat kejadian.
“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan berlaku di dalam rumah mangsa dan mayat sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi proses bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuklah mengambil keterangan daripada ahli keluarga mangsa bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Habibi, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara polis menunggu laporan bedah siasat mangsa selesai dijalankan.-K!ONLINE