fbpx

10 rumah hangus, surau terselamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Surau yang terletak kurang 10 meter dari 10 rumah yang terbakar tidak terjejas dalam kejadian hari ini.

KUALA LUMPUR – Meskipun dikelilingi 10 buah rumah yang musnah terbakar, sebuah surau tetap berdiri teguh dan langsung tidak terbakar hingga mendatangkan keajaiban buat mangsa.

Surau yang baru dibina tiga bulan lalu itu langsung tidak dijamah api walaupun kedudukan surau tersebut dengan rumah yang terbakar kurang 10 meter.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, kira-kira 10 buah rumah yang diperbuat dari papan dan bersambung itu musnah dijilat api di Kampung Medan Wira Utama, Jalan 4 1/2 Jalan Ipoh di sini hari ini.

Salah seorang mangsa, Nur fatin Najihan Kamaruddin, 23, berkata, dia dan mangsa lain terperanjat apabila surau tersebut tidak terbakar sedangkan kesemua rumah di keliling surau musnah.

“Surau yang dibina sejak tiga bulan lalu itu hasil inisiatif ibu mertua kakak dan juga penduduk di sini yang terdiri daripada warga tempatan dan asing kerana kesukaran untuk pergi ke masjid yang terletak jauh dari sini.

“Penduduk di sini rancang untuk menggunakan surau itu pada 1 Ramadan nanti . Alhamdulillah, nampak gaya surau itu boleh diguna untuk solat berjemaah dan tarawih nanti,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di lokasi di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, sejadah dan telekong solat yang didermakan orang ramai untuk diwakafkan di surau itu gagal diselamatkan.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba, Mohamad Hasbullah Naimi Mahmud berkata, bomba menerima panggilan kejadian sekitar pukul 12.59 tengah hari dan tiba di lokasi pukul 1.09 petang.

Katanya, kebakaran itu melibatkan 10 buah rumah papan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Seramai 37 petugas dikejarkan ke lokasi melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak Selatan, Jinjang, Sentul dan Hang Tuah bagi memadamkan kebakaran,” ujarnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI