fbpx

Wanita dakwa polis buat gangguan seksual di SJR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar dakwaan wanita itu yang tular di laman Twitter.

PETALING JAYA – Seorang wanita membuat hantaran di media sosial mendakwa seorang anggota polis melakukan gangguan seksual terhadapnya ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya semalam.

Menerusi beberapa ciapan di Twitter, wanita terbabit berkata, kejadian itu berlaku ketika dia melalui SJR sewaktu keluar dari Putrajaya menuju Lebuh Raya Damansara-Puchong sekitar pukul 9.05 pagi.

“Hi @PDRMsia, ketika melalui SJR susur keluar ke Putrajaya, seorang anggota polis telah membuat gangguan seksual kepada saya apabila dia bertanya saya hendak ke mana, saya beritahu mahu hantar susu, kemudian polis itu tanya kepada saya: “Susu itu awak perah sendiri ke?”

“Anggota yang berada di situ gelakkan saya, bertudung labuh tapi masih terkena gangguan seksual, tolong lakukan sesuatu,” ciapnya semalam.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, seorang pegawai polis telah membuat satu laporan polis berkenaan hantaran tersebut yang kini menjadi tular di laman Twitter semalam.

“Laporan polis dibuat kerana menurut pengadu, dakwaan pengguna aplikasi Twitter tersebut adalah tidak benar.

“Pada hari yang sama, pukul 6 petang, seorang wanita berusia 28 tahun yang merupakan pemilik akaun Twitter tersebut telah tampil membuat laporan polis dan mendakwa pada 27 Mac 2021, lebih kurang pukul 9 pagi, seorang pegawai polis telah membuat gangguan seksual terhadapnya dengan menggunakan kata-kata yang tidak sopan semasa melalui SJR di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, siasatan awal dijalankan oleh pihak polis, anggota terbabit menafikan telah mengeluarkan perkataan yang tidak sopan semasa menyoal wanita tersebut.

“Sebaliknya, beliau bertanyakan berkenaan produk susu tersebut dengan ayat: “You buat sendiri ke susu tu?”.

“Petugas lain termasuk pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di lokasi kejadian juga telah disiasat dan menafikan berlakunya gangguan seksual sebagaimana dakwaan wanita tersebut,” jelasnya.

Mohd. Fadzil berkata, pihak polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat oleh kedua-dua pihak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI