KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan parti itu tidak akan menukar ‘tuan’ walaupun maruah UMNO cuba dibeli dan ditekan supaya dibubarkan.
Menurutnya, beliau selaku Presiden UMNO memilih jalan sukar, menolak semua tawaran dan tidak tunduk dengan ugutan mahupun pertuduhan bagi mempertahankan ‘tuan’ sedia ada iaitu ahli UMNO dan sekalian rakyat Malaysia.
Tegasnya, beliau malah tidak keseorangan dalam perkara tersebut kerana ahli UMNO peringkat akar umbi, bahagian, negeri dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bersamanya.
“Kita tidak akan terpengaruh dengan pujuk rayu kluster “apit lempang cencang galang” untuk merubah keputusan kita yang sehingga malam tadi masih merayau dengan kuncu-kuncunya
“Masih menjadi makhluk perosak kepada parti. Cukuplah. Kalau rasa nak jadi pemimpin dan ahli UMNO taat kepada peraturan dan keputusan parti,” katanya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO menolak pembelot serta pengkhianat dan tidak mahu makhluk perosak yang memusnahkan parti.
Ujarnya, budaya lompat parti semakin menjadi-jadi menyebabkan pengundi dan rakyat berasa dikhianati kerana jawatan dan ghanimah ditukar dengan maruah diri.
“Sedarlah, politik ini ditentukan oleh kluster rakyat. Bukan kluster gila kuasa, bukan kluster broker, bukan kluster oportunis atau kluster lompat pagar.
“Bukalah minda dan berfikir dua tiga tapak ke hadapan demi masa depan anak cucu kita,” katanya. – K! ONLINE