MANCHESTER – Kelab gergasi England, Manchester United dilaporkan cuba untuk mengambil kesempatan ekoran masalah kewangan yang dihadapi Atletico Madrid dengan memancing khidmat pemain tengah mereka, Marcos Llorente.
Ketika United mengesahkan bahawa pengurus mereka, Ole Gunnar Solskjaer sudahpun menandatangani kontrak lanjutan, ia bermakna pasukan itu akan terus berada di pasaran perpindahan musim panas nanti.
Ketika ini keutamaan United adalah untuk mendapatkan penyerang dan pemain pertahanan tetapi peluang yang ada untuk mendapatkan Llorente mungkin tidak akan dilepaskan oleh pasukan itu.
Laporan media di Sepanyol menyebut, United sudah melancarkan bidaan awal sebanyak £65.8 juta (RM376.27 juta) untuk mendapatkan pemain antarabangsa Sepanyol berkenaan dan ia adalah satu nilai yang sukar ditolak Atletico ketika ini.
Llorente dilaporkan gembira bersama Atletico ketika ini tetapi terpaksa mengikut apa sahaja yang diputuskan oleh kelabnya itu.
Perancang kreatif itu berjaya meledak 15 gol dalam 72 penampilan sejak 18 bulan lalu apabila melengkapkan perpindahan dari Real Madrid. – AGENSI