DOHA – Pelumba sensasi Itali, Valentino Rossi mengakui gembira dengan kestabilan jentera YZR-M1 dan hanya perlu memperkemaskan terutama kombinasi pemilihan tayar pada perlumbaan pembukaan di Grand Prix (GP) Qatar malam ini.
Rossi yang menyertai pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) tersebut memulakan sesi latihan pertama (FP1) di Litar Antarabangsa Losail di kedudukan kesembilan manakala rakan sepasukannya, Franco Morbidelli mencatatkan masa terpantas pada sesi tersebut.
Pada sesi FP2, pasukan Ducati Lenovo Team mempersembahkan tunggangan solid apabila Jack Miller merampas kedudukan dari Morbidelli selaku pelumba terpantas diikuti rakan sepasukannya Francesco Bagnaia di tempat kedua. Pelumba Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo di tempat ketiga.
“Saya suka dengan kestabilan jentera pada saingan kali ini dan saya gembira dengan hasil yang kami peroleh secara keseluruhan. Tetapi, kami perlu memperkemaskan lagi beberapa kekurangan.
“Ini termasuk sistem elektronik bagi mendapatkan kuasa yang tepat pada saingan esok. Selain itu, kami perlu membuat keputusan yang tepat mengenai pemilihan tayar pada perlumbaan nanti. Keadaan suhu litar pasti berbeza dan pasukan perlu bijak membuat keputusan agar jentera dapat memecut lebih laju terutama di selekoh,” kata Rossi.
Semalam, adalah keputusan terbaik buat kem pasukan Yamaha apabila keempat-empat pelumba mereka berada dalam kelompok 10 terpantas sekali gus dilihat tidak berdepan masalah untuk memberi tekanan kepada pasukan Ducati.
“Pada perlumbaan kali ini saya mengikuti rentak pelumba Ducati terutama Miller dan Bagnaia kerana jentera mereka sangat baik pada musim ini. Saya yakin mereka menjadi pasukan terkuat di Qatar esok (hari ini),” tambah Rossi.
Sebagai rekod, Ducati mempunyai rekod terbaik di Qatar apabila melakar kemenangan berturut-turut pada musim 2019 dan 2020 menerusi bekas pelumba berpengalamannya, Andrea Dovizioso.
Sudah pasti tahun ini Ducati tidak ingin melepaskan kemenangan tersebut dan dijangka Miller bakal melengkapkan kemenangan ketiga buat pasukan Itali itu. – AGENSI