RANTAU PANJANG – Lapan orang wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand dicekup oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 dalam dua serbuan berasingan semalam dan kelmarin.
Dalam serbuan di sekitar daerah ini dan Tumpat itu, PGA turut menahan dua lelaki warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat membawa kesemua suspek.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, kesemua PATI yang ditahan dalam dua serbuan itu berusia dalam lingkungan 31 hingga 39 tahun.
Menurutnya, dalam serbuan pertama pada pukul 11 malam, empat PATI dan seorang tekong darat berusia 32 tahun diberkas selepas PGA menahan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Kubang Kual di sini kelmarin.
“Hasil pemeriksaan, kita menemui empat orang PATI warga Thailand itu di dalam kereta tersebut.
“Siasatan awal mendapati, kesemua PATI dibawa masuk menggunakan pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Azizan memberitahu, kesemua PATI itu dipercayai akan dibawa untuk bekerja di sekitar Johor.
Katanya, dalam serbuan kedua di sebuah calet di Wakaf Bahru, Tumpat pada pukul 12.05 tengah malam semalam, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai tekong darat.
“Selain tekong darat berusia 59 tahun, empat warga Thailand turut dicekup dalam serbuan itu,” katanya. – K! ONLINE