fbpx

Nor Atiqah gadis Muay Thai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR ATIQAH memasang impian untuk mengorak lebih jauh dalam sukan Muay Thai pada masa akan datang.

MEMINATI seni mempertahankan diri terutamanya Muay Thai membuatkan Nor Atiqah Zainun@Zainuddin, 21, sentiasa mencari peluang me­nyertai aktiviti itu.
Nor Atiqah bagaimanapun mula serius dalam sukan tinju itu selepas rumahnya dimasuki pencuri empat tahun lalu.

Bertitik tolak daripada kejadian itu, Nor Atiqah nekad mempelajari Muay Thai bagi membuktikan bahawa golongan wanita juga berupaya mempertahan diri sekiranya dilanda musibah. Bagi anak kelahiran Kota Bharu itu, membesar tanpa ibu bapa yang meninggal dunia semasa dia masih kecil menjadikan mental dan fizikalnya lebih kental selain sensitif dengan keadaan sekeli­ling.

Gadis ini menyertai pelbagai pertandingan Muay Thai peringkat amatur dan profesional di bawah kelab Kala Merah Melaka sejak 2017. Nor Atiqah pernah mewakili Perak pada Temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

Pada 2019, Nor Atiqah dinobatkan sebagai wanita Muay Thai terbaik apabila memenangi Kejohanan Muay Thai Challenge Pro International Fight Night 2019 di Melaka.

NOR ATIQAH memasang impian untuk mengorak lebih jauh dalam sukan Muay Thai pada masa akan datang.

Ikuti temu bual Kosmo! Ahad bersama gadis ini yang baru menamatkan pengajian dalam ­­Sijil Terapi Sukan, Institusi Ke­mahiran Belia Negara Kuala Langat.

Kosmo! Ahad: Ceritakan detik awal penglibatan dalam Muay Thai?
Nor Atiqah: Segalanya bermula enam tahun lalu apabila saya dan kakak, Nur Siti Suraya, 24, kerap menonton perlawanan Muay Thai di kampung (Kota Bharu). Jadi, saya menanam ­impian untuk bergelar ­­­atlet Muay Thai suatu hari nanti.

Sejak bila serius dalam sukan ini?
Selepas rumah dipecah ma­suk pada 2017, kami tiga beradik perempuan hanya mampu melihat pencuri ambil barangan berharga kerana takut. Keadaan itu membuatkan saya dan kakak nekad belajar seni mempertahankan diri.

Bila kali pertama berlatih Muay Thai?
Sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2017. Saya berlatih di Kelab Papaja di Kota Bharu.

Mengapa memilih Muay Thai, bukan seni bela diri lain?
Salah satu sebabnya adalah langkah sembah yang dipertontonkan sebelum acara perlawanan sebenar bermula. Suka juga jatuh cinta dengan keunikan aksesori dan kelengkapan sukan ini terutama mongkol (aksesori kepala).

Bagaimana dengan sokongan keluarga?
Saya bersyukur kerana kakak, Nor Faisah, 36, dan suaminya, Mat Yaacob Mohamed, 57, menyokong dan sanggup membiayai saya dalam sukan ini meskipun mereka bimbang setiap kali saya beraksi di gelanggang.

Berapa pertandingan yang disertai setakat ini?
Saya sudah menyertai 12 pertandingan di bawah Kelab Kala Merah Melaka dan memenangi 10 pertandingan, dua kali kalah termasuk Sukma Perak apabila saya tersingkir pada pe­ringkat separuh akhir.

Perasaan Nor Atiqah setiap kali masuk gelanggang?
Sejujurnya, memang gementar tetapi saya lebih teruja semasa bertanding kerana merupakan medan untuk menggunakan segala teknik yang dipelajari.

Pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang menyertai Muay Thai?
Saya pernah menyertai pertandingan meskipun ketika itu mengalami kecederaan di bahu dan tidak menyangka memenangi pertandingan tersebut.

Bagaimana dengan latihan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?
Saya menjalani latihan di rumah de­ngan dipantau oleh kakak. Selain itu, saya dan kakak juga berlatih di Pakaq Gomo Gym, Kota Bharu kerana premis tersebut mempunyai peralatan lengkap untuk sukan Muay Thai.

Harapan pada masa akan datang dalam sukan Muay Thai?
Saya berharap dapat mewakili Malaysia dalam Sukan SEA dan membawa pulang pingat emas. Saya juga menyasarkan untuk menyertai acara sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA) dalam pertandingan One Championship bagi platform yang lebih besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI