fbpx

Laungan PAU 2020 tetap gah, meriah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) yang bermula semalam selepas ditangguhkan selama setahun akibat penularan pandemik Covid-19 berlangsung dalam suasana gah biarpun persidangan diadakan secara maya.

PAU 2020 yang diadakan di lokasi keramat parti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) bermula pukul 8 pagi itu dipancarkan secara langsung bagi membolehkan 190 UMNO Bahagian di seluruh negara dapat mengikuti intipati penting perhimpunan itu.

Mohamad (tiga dari kanan) diiringi Ahmad Maslan (dua dari kiri) sebelum merasmikan mesyuarat tiga sayap parti di Dewan Merdeka, WTC KL semalam.

Persidangan secara maya dibuat sebagai langkah mengelakkan kesesakan dan orang ramai berkumpul bagi memben­dung penularan Covid-19.

Jika sebelum ini PAU cukup sinonim dengan keriuhan dan kemeriahan kehadiran orang ramai serta gerai jualan, namun tahun ini sedikit lengang dengan had kehadiran perwakilan hanya sekitar 1,000 orang iaitu separuh daripada had maksimum 2,800 orang.

Kehadiran perwakilan pada PAU 2020 itu mengikut SOP yang ditetapkan iaitu 50 peratus daripada keluasan dewan memandangkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih terletak dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 31 Mac ini.

Secara keseluruhan pematuhan perwakilan yang hadir berada pada tahap tinggi dengan memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menetapkan 26 hingga 31 Oktober 2020 dan kemudiannya pada 31 Januari 2021, tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan Proklamasi Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu di Pulau Pinang, lebih 100 ahli sayap Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Pu­teri UMNO negeri bersemangat mengikuti PAU 2020 walaupun tidak berada di WTC KL yang menjadi lokasi utama perhimpunan berkenaan.

Tiga bilik persidangan di Hotel Citittel di sini yang menjadi lokasi persidangan tersebut secara maya tetap meriah dengan ahli-ahli memakai pakaian rasmi parti.

BARISAN ahli Puteri dan Wanita UMNO mengibarkan bendera parti ketika menyanyikan lagu Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat pada PAU semalam.

Setiausaha Kerja UMNO Pulau Pinang, Hamzah Mohd. Ismail berkata, kesemua mereka dari ketiga-tiga sayap mewakili 13 bahagian UMNO menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi walaupun dalam norma baharu.

“Diharap setiap ahli UMNO dapat menghayati pesanan pucuk pimpinan parti itu walaupun mereka berada jauh daripada PWTC,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Jelutong, Rahimah Ramli berkata, ini merupakan kali pertama dia tidak dapat mengikuti perhimpunan di WTC KL selepas 10 tahun bergiat aktif sebagai ahli parti.

“Ada sikit rasa sedih pada mulanya, tetapi bila saya lihat rakan-rakan lain di sini tetap bersemangat ikuti persidangan saya turut bersemangat.

“Kami berasa seperti berada di sana ketika mendengar a­manat Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan pagi tadi (semalam),” katanya.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Mohd Huzaidi Mohd Hussin, 42, berkata, ahli-ahli yang dijemput menghadiri perhimpunan itu semalam amat bersemangat dan amanat yang disampaikan didengar dengan teliti serta dijadikan panduan untuk terus menggerakkan parti.

“Suasananya sedikit berbeza namun semangatnya tetap sama di sini dan kami bersedia untuk membawa parti agar lebih bersedia di masa depan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI