GEORGE TOWN – Penduduk di Blok 362, Lebuh Maccallum di sini cemas selepas dikejutkan dengan kebakaran melibatkan lapan buah motosikal yang diletakkan pemiliknya di kawasan parkir terbuka di bawah flat berkenaan awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu ketika penghuni flat terbabit dikatakan sedang sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan dan bau asap api dari pekarangan bawah.
Sebahagian mereka kemudiannya pantas berlari dengan masing-masing dikatakan membawa timba berisi air untuk membantu memadamkan kebakaran tersebut.
Difahamkan, motosikal yang diletakkan secara sebaris itu adalah jenis Honda EX5, Modenas Kriss dan Yamaha Lagenda.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohamad Yahaya Murad ketika dihubungi Kosmo! di sini berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 2.10 pagi dan tiba ke situ kurang 10 kemudian.
Menurutnya, sebaik sampai di lokasi kejadian mendapati api terlebih dahulu dipadamkan penduduk di kawasan perumahan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak lima buah motosikal hangus manakala tiga lagi dalam keadaan separuh terbakar.
“Semasa itu, dikatakan hanya seorang pemilik motosikal sahaja yang turun ke lokasi kejadian manakala yang lain adalah penduduk yang sama-sama membantu memadamkan kebakaran,” katanya.
Beliau memberitahu, punca kebakaran berlaku masih dalam siasatan pasukan Forensik Bomba dan terdapat sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berhampiran dengan lokasi kejadian.
Tambahnya, operasi memadamkan kebakaran turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Perak Lane dan Paya Terubong. – K! ONLINE