fbpx

Kucing enam jari penghuni muzium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUCING-kucing yang mendiami muzium ini terus dipelihara dan dijaga kebajikannya oleh pengendali muzium.

PENULIS novel, Ernest Hemingway sangat terkenal dengan sumbangan besarnya kepada dunia kesusasteraan di Amerika Syarikat (AS).

Sebahagian besar novel tulisannya berkisar adegan sebenar yang berlaku di kediamannya yang terletak di Key West, Florida.

Kini, kediaman dua tingkat yang telah diubah menjadi muzium itu menjadi rumah kepada hampir 50 ekor kucing spesies polydactyl yang mempunyai enam jari.

Anak kucing pertama yang menetap di rumah milik Hemingway dikenali sebagai Snow
White. Kucing itu diberikan seorang kapten kapal laut ketika menziarahi Hemingway.

“Masyarakat di AS percaya bahawa kucing enam jari boleh membawa tuah kepada pemiliknya.

“Dari perspektif pelayaran, kucing berjari enam mempunyai keseimbangan lebih baik di laut bergelora selain mahir menangkap tikus,” tulis portal berita pelik, Ripley’s.

Sebagai seorang novelis yang juga merupakan pelaut, Hemigway sangat menghargai pemberian kapten kapal laut itu.

 

SIAPA sangka rumah milik asal seorang novelis tersohor di Amerika Syarikat kini menjadi rumah atau muzium kucing enam jari.

 

Biasanya, kucing mempunyai lima jari kaki depan dan empat jari kaki belakang.Bagaimanapun, hampir separuh daripada kucing yang tinggal di muzium berkenaan mempunyai fizikal pelik iaitu enam jari pada salah satu kaki.

Terdapat juga kucing yang ditinggalkan di situ tidak dikurniakan enam jari, namun hasil ujian DNA yang dilakukan menunjukkan hampir semua membawa gen polydactyl.

“Ini bermaksud meskipun memiliki jumlah jari normal, namun kucing-kucing di situ tetap berpotensi untuk melahirkan anak berjari enam,” ujar portal berkenaan.
Kucing yang menetap di The Ernest Hemingway Home and Museum itu memiliki pelbagai saiz, bentuk dan warna.

Menariknya, setiap kucing di situ diberi nama orang-orang kenamaan sekali gus menyambung tradisi yang pernah dilakukan oleh Hemingway.

Antara nama figura yang diabadikan kepada kucing-kucing itu ialah Hunter S. Thompson, Tennessee Williams dan Joe DiMaggio.

Ketika ini, pihak pengurusan muzium telah mengupah seorang doktor haiwan bagi menjaga kebajikan kucing-kucing tersebut.

Antara rutin harian doktor di situ adalah memberi vaksin, ubat cacing dan rawatan telinga bagi memastikan kucing-kucing keadaan baik dan sihat.

 

HEMINGWAY (tengah) dan keluarganya sangat gemar memelihara kucing termasuk kucing enam jari pada masa dahulu.

 

Ketika taufan Irma membadai Florida pada 2017, banyak kediaman di Key West telah mengalami kerosakan teruk. Meskipun telah diberi amaran awal, tetapi pengurus besar muzium tersebut, Jacque Sands dan 10 pekerja lain memilih untuk kekal di situ.

Mereka tinggal di muzium itu semata-mata untuk menjaga kucing-kucing dan usaha keras tersebut sangat berbaloi. Semua kucing Hemingway selamat daripada taufan Irma. Lebih menarik, haiwan jinak itu seakan tahu cuaca buruk akan berlaku di kawasan tersebut.

“Ketika kami mula mengumpul kucing-kucing ini untuk dibawa masuk ke dalam muzium. Beberapa ekor kucing berlari pantas masuk ke dalam muzium dan terus mencari tempat berlindung.

“Kucing-kucing ini seperti sudah mengetahui akan berlaku taufan. Kadang-kadang saya terfikir kucing-kucing ini lebih bijak daripada manusia,” ujar kurator muzium berkenaan, Dave Gonzales kepada portal New York Times.

Hemingway telah tinggal di rumahnya di Key West itu selama sedekad. Ketika tinggal di sana juga dia berjaya menghasilkan beberapa karya terkenal termasuk The Snows of Kilimanjaro dan For Whom the Bell Toll.

MASYARAKAT Amerika Syarikat percaya kucing polydactyl membawa tuah kepada pemiliknya.

 

 

Rumah tersebut dibina pada tahun 1851. Hemingway dan isterinya, Pauline Preiffer telah mengubah suai rumah berkenaan dengan kos AS$347,000 (RM1.4 juta).

Kini muzium berkenaan menjadi tumpuan para pelancong yang ingin melihat dengan lebih dekat kucing-kucing berjari enam.

“Kucing-kucing ini mula menjadi tarikan selepas kematian Hemingway pada tahun 1961,” ujar Gonzales.

Biarpun berdepan kekurangan pengunjung akibat penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu, namun muzium Hemingway masih kekal bertahan.

“Kami merancang untuk terus mengoperasikan muzium ini bagi memastikan kucing-kucing di sini terus terpelihara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI