KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan (KPM) menjadikan nasihat dari Pusat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh negara sebagai rujukan utama dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 di sekolah-sekolah.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, setiap nasihat oleh PKD perlu dipatuhi memandangkan badan berkenaan lebih arif dalam melawan pandemik itu di tempat masing-masing.
Menurutnya, pihak kementerian juga optimis mengenai perjalanan sesi persekolahan selagi semua pihak tidak mengabaikan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Bukan sahaja warga KPM dan guru, kami juga mahu golongan ibu bapa turut memainkan peranan dalam memberikan peringatan berterusan kepada anak-anak berkait pematuhan SOP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Gerakan Masa : Terima Kasih Cikgu Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-50 Bagi Tahun 2021 di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan. – K! ONLINE