ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri berhasrat untuk membeli sendiri vaksin imunisasi Covid-19 sekiranya langkah itu dapat mempercepatkan pemberian vaksin kepada seluruh penduduk di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, langkah itu penting dalam usaha membuka semula sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura.
Menurut beliau, pembukaan semula sempadan tersebut akan memberi impak positif kepada sosioekonomi negeri ini.
“Perkara ini (usaha mendapatkan vaksin Covid-19) telah dibincangkan dalam mesyuarat exco dimana Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad ada menyebut pihaknya komited untuk menyegerakan pembukaan semula sempadan.
“Namun jika kita terpaksa menunggu lama untuk rakyat Johor dapat menerima vaksin, antara yang dicadangkan adalah kerajaan negeri mendapatkan vaksin berkenaan atas kapasiti sendiri.
“Perkara ini penting kerana antara syarat pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura adalah rakyat negeri ini perlulah menerima vaksin Covid-19,” katanya yang turut memberitahu perkara itu masih di peringkat awal perbincangan.
Beliau berkata demikian ketika hadir melancarkan Wisma OSB Global Resources Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Nusabayu, di sini hari ini. – K! ONLINE