BINTANG Johor Jewels, Nurfariha Abdul Razak percaya masih ada ruang boleh diperbaiki meskipun pasukannya sudah berada dalam keadaan selesa untuk mara ke separuh akhir Netball Super League (NSL) musim ini.
Johor ketika ini berjaya merakam kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan B selepas menewaskan Pahang Tulips 71-44 di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur kelmarin.
Bagaimanapun, Nurfariha, 26, enggan Johor mendabik dada dan merasakan mereka mampu mencatat kemenangan mudah ke atas Pahang apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi untuk aksi keempat hari ini.
“Peratusan jaringan kami kurang dan bahagian pertahanan juga gagal mencuri banyak bola. Walaupun bermula perlahan tetapi kami berjaya bangkit.
“Sekarang semuanya berjalan mengikut perancangan tetapi masih ada kelemahan boleh diperbaiki. Kami akan cuba kurangkan kesilapan pada aksi seterusnya,” kata Nurfariha yang beraksi sebagai center dan wing attack Johor serta skuad kebangsaan.