fbpx

Jiwa muzik saya kuat – Loca B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOCA B

SEBAHAGIAN daripada kita mungkin tidak begitu sedar akan realiti atau fakta ini tetapi sejarah telah tercipta, pemilik nama lengkap Nabilah Hani Azali merupakan penyanyi rap wanita pertama Malaysia yang berdiri sebagai pemenang trofi unggul Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35).

Nabilah Hani atau nama pentasnya, Loca B berjaya mengukirkan namanya dengan seribu kemanisan bersulam kejayaan bersama dua rakan duetnya, Kaka Azraff dan Noki menerusi karya kini yang layak dijulang sebagai sebuah mahakarya berjudul Gila.

LOCA B tidak menyangka lagu Gila akan dijulang sebagai Juara Lagu AJL35. Tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk memegang trofi berkenaan dan semua yang yang berlaku ibarat mimpi. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Benarlah sesebuah kejayaan itu tidak datang bergolek. Perihal tersebut dibutirkan Loca, 29, dalam pertemuan eksklusif bersama Pose baru-baru ini.

 

Katanya, ketika mula bertatih dalam industri, pilihannya untuk bergelar anak seni dibangkang keras oleh insan-insan tersayang bernama keluarga.

Pedih, namun begitulah jalan berduri yang terpaksa dilalui ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Ungkapnya, tidak mengapa jika orang tidak bersetuju dengan pilihan hidupnya, namun sakitnya terasa andai penolakan tersebut datang daripada keluarga sendiri.

LOCA B mulanya bercita-cita menjadi penari. Dia ingin menyertai pertandingan realiti, So You Think You Can Dance, namun tidak kesampaian

 

Salah faham

Hasil berteguh dengan pendirian untuk bergelumang dengan industri muzik yang penuh sepak terajang tidak terjangka, Loca telah membuktikan yang sekurang-kurangnya, dia jujur dengan intuisi diri dan akhirnya melakar kejayaan.

“Saya pernah berdepan ‘rejection’ (penolakan) ketika mahu bermula. Jujurnya, kalau hal tu datang daripada orang luar tidak mengapa tetapi bukan daripada orang terdekat.

“Ditolak oleh keluarga kita sendiri, sakitnya lain macam. Saya faham mereka mahu yang terbaik, termasuk daripada aspek pendidikan dan kehidupan. Tetapi jiwa seni saya sangat kuat,” tutur isteri kepada penyanyi rap dan ahli kumpulan hip hop K-Clique, Tuju itu.

Kata orang, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Barangkali itu juga prinsip Loca waima terpaksa membenarkan kekeliruan hati dengan membelakangi kehendak keluarga.

“Saya nak buktikan yang saya boleh ‘hidup’ dengan melakukan pekerjaan yang diminati. Jujurnya, semasa mula-mula dahulu, pilihan kerjaya ini dibangkang sampai saya ‘hilang keyakinan diri’.

“Alhamdulillah, sekarang mereka sudah nampak apa yang saya usahakan. Mereka terima saya sebagai anak seni.

“Saya juga percaya kehidupan merupakan satu perjalanan. Kalau saya tak lalui semua itu, saya tidak akan punya kesungguhan dan keberanian berdepan masa sekarang,” luah Loca sedikit beremosi.

MERUPAKAN seorang yang sangat mementingkan privasi, selain ‘fasih’ dengan muzik rap, Loca juga sangat mengagumi Penyanyi Nombor Satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Terlantar sendirian

Pernah menuntut di University of Southampton, England, perkongsian tersebut membawa kepada episod seterusnya dalam perbualan.
Loca mendedahkan, dia pernah berdepan masalah kemurungan, namun barangkali dalam satu ruang yang lohong secara metaforanya, dia menemui cahaya bernama muzik.

“Saya atasi masalah kemurungan dengan menulis lagu. Melalui lagu saya menceritakan perjalanan dan apa yang saya alami.

“Orang tak tahu, dahulu saya belajar di luar negara seorang diri. Kawan pun tak ramai. Saya berdepan kemurungan sampai buat tugasan universiti pun saya tidak lalu, terlantar atas katil seorang diri. Rasa macam hidup seorang diri dalam gua.

“Sebenarnya, masa sekolah menengah lagi saya sudah berdepan masalah ini. Susah nak terangkan kerana benda ini sesuatu yang tak nampak.

“Hanya mereka yang pernah alami tahu bagaimana rasa berdepan masalah kemurungan,” katanya seraya bola matanya tertancap sedikit berkaca.

LOCA mahu pengalaman dan pencapaiannya jadi inspirasi untuk anak-anak saat mereka dewasa kelak.

Contoh buat anak

Ibu kepada Yusuf Alexander dan Bintang Aiko itu berharap segala cabaran dan pengalaman hidup yang pernah dilalui boleh menjadi inspirasi kepada anak-anak.

“Saya nak anak-anak tengok saya berjaya. Apabila mereka besar nanti, saya nak fikiran mereka tertanam semangat yang kalau saya boleh buat, mereka pun boleh.

“Saya juga tak kisah kalau mereka sudah besar nanti nak buat apa, asalkan mendatangkan kebaikan buat diri dan orang sekeliling, saya akan jadi ibu yang paling mendukung.

“Kalau mereka nak jadi pemuzik pun tiada masalah,” kata anak jati Selangor itu mendalam.

Ditebak pertanyaan kemanisan perjalanan kerjayanya dari zaman ‘sukar’ dan sekarang menjadi pemenang AJL, Loca menyifatkan perkara paling manis ialah ilmu yang dipelajari dariada pasukan terlibat.

“Seronok dapat buat sesuatu dengan kawan-kawan yang berkongsi matlamat sama.

“Apa yang berlaku baru-baru ini juga merapatkan hubungan saya dengan Kaka dan Noki. Berkenalan dengan orang berpengalaman dalam industri juga sangat bermakna buat saya.

“Bidang ini bukan semuanya tentang glamor atau pakai baju cantik-cantik.

“Sebenarnya, lebih daripada itu. Bagi saya, ini tempat saya cari rezeki untuk kehidupan yang lebih baik.

“Nak buat duit untuk keluarga dan kalau ada lebih, mahu tolong orang sekeliling,” tutup Loca seraya mengakui mengintip peluang mendekati Aina Abdul dan Ernie Zakri untuk sebuah projek istimewa.

Tatarias ARDI IDEWANI ZAINI (@RD.IDEWANI.ZAINI) Busana AFIQM. (@AFIQMOFFICIAL) Korset SYAMIL FAZWAN (@SYAMILFAZWAN) Solekan SYAHIRA HAWANG (@SYAHIRAHAWANG.MAKEUP) Dandanan rambut VIEALEXENDDRA (QUEENXENDDRA_)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI