KUALA LUMPUR – Bekas juara lima edisi, Pasukan Hoki Terengganu (THT) boleh dikatakan sudah ‘sebelah kaki’ ke pentas final Piala TNB selepas menewaskan Maybank 2-0 pada separuh akhir pertama di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Biarpun cuma dua gol, ia tetap dilihat sebagai satu bekalan selesa buat naib juara Liga Hoki Malaysia (MHL) itu untuk aksi timbal balik menentang Maybank pada Rabu ini.
Bagaimanapun, anak-anak buah K. Rajan masih perlu melakukan banyak kerja rumah jika mahu mempertahankan agregat tersebut kerana Maybank pastinya akan bermati-matian untuk memadam kelebihan berkenaan.
Ini kerana skuad bimbingan Azrul Effendy Bistamam itu masih mempunyai barisan pemain yang mampu mengubah situasi perlawanan pada Rabu ini jika mereka menajamkan lagi penyudah di hadapan gawang gol THT.
Apa tidaknya, Maybank yang meraih tempat ketiga MHL musim ini, gagal memanfaatkan tujuh pukulan sudut penalti diraih sepanjang perlawanan itu.
Sebaliknya, THT mengambil kesempatan dengan serangan balas pantas untuk menjaringkan dua gol padang menerusi Shello Silverius serta Mohd. Fitri Saari masing-masing pada minit ke-22 dan 49.
Sebagai rekod, THT pernah dianggap sebagai kuasa besar arena hoki Malaysia selepas menjuarai Piala Tenaga Nasional Berhad (TNB) empat kali berturut-turut dari tahun 2014 hingga 2017 sebelum kembali memenanginya pada tahun 2019. – K! ONLINE