PUTRAJAYA – Penerima sedia ada Geran Khas Prihatin (GKP) 1.0 dan GKP 2.0 tidak perlu membuat permohonan semula bagi memohon GKP 3.0.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, mereka boleh memohon GKP 3.0 menerusi Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my/.
Beliau berkata, permohonan itu akan dibuka secara dalam talian selama 15 hari bermula 1 hingga 15 April depan.
“Bagi PKS mikro yang tidak lulus dan belum menerima GKP sebelum ini juga masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk semakan semula.
“PKS mikro yang layak untuk GKP 3.0 adalah perniagaan yang menepati kriteria PKS mikro dan juga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat 28 Februari lalu,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, GKP 3.0 akan memanfaatkan hampir 1.2 juta PKS mikro dengan peruntukan RM1.2 bilion di mana PKS mikro yang layak akan menerima bantuan secara ‘one-off’ GKP 3.0 sebanyak RM1,000.
Tengku Zafrul berkata, selepas pangkalan data GKP dikemas kini, pembayaran GKP 3.0 akan mula dibuat pada bulan Jun depan.
Menurutnya, GKP 3.0 diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bertujuan menyokong sektor perniagaan khususnya PKS mikro tempatan.
“Ia bertujuan meringankan beban kewangan PKS mikro agar mereka mampu menggiatkan semula perniagaan di dalam tempoh yang masih mencabar ini,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai GKP boleh dirujuk menerusi Soalan Lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi GKP.
Secara keseluruhan, jumlah bantuan kewangan bagi tiga siri GKP berkenaan adalah berjumlah RM4.78 bilion. – K! ONLINE