SEGAMAT – Seorang buruh terkejut selepas menemui tiga butir bom ketika melakukan kerja-kerja pemotongan buah kelapa sawit di kawasan Ladang United Melaka Berhad, Batu Anam, di sini, Jumaat lalu.
Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berkata, susulan laporan yang diterima pihaknya menghantar pasukan melakukan siasatan kira-kira pukul 11 pagi, semalam.
Menurutnya, siasatan di lokasi mendapati terdapat dua butir bom UXO jenis Artilerry Meriam 85mm dan sebutir jenis Mortar 3 inch.
“Tindakan pemusnahan 3 butir UXO berkenaan telah dijalankan secara In Situation (In-situ) dengan menggunakan teknik high order melalui kaedah elektrik.
“Pemusnahan telah dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang kehilangan ke atas nyawa dan kerosakan harta benda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Polis Johor menyeru kepada orang ramai sekiranya menjumpai objek yang mencurigai atau dipercayai bom diminta lapor segera kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
Tegas kenyataan itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya jangan mengusik, mengalih atau menggerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.
“Polis Johor sentiasa bersedia pada bila-bila masa membantu masyarakat dalam menangani sebarang insiden melibat bahan letupan sekiranya diperlukan,” katanya. – K! ONLINE