Populariti sebuah model kenderaan memainkan peranan penting dalam memastikan model tersebut terus dikeluarkan oleh syarikat pengeluarnya.
Dengan pelancaran Peugeot 308 generasi ketiga, ternyata sekali jentera berkenaan masih mendapat permintaan daripada para peminatnya.
Model segmen C itu hadir dengan ciri-ciri baharu yang dikatakan bakal menjadi identiti kepada jentera masa hadapan Peugeot.
Sebagai contoh, jentera berkenaan menggunakan logo baharu Peugeot. Bukan itu sahaja, 308 juga dilengkapkan dengan teknologi terkini keluaran syarikat tersebut.
Peugeot 308 baharu itu didatangkan dengan teknologi bantuan pemanduan terkini serta Peugeot i-Cockpit dengan teknologi tiga dimensi (3D).
Tidak hanya itu, ia juga dilengkapi dengan i-Connect Advanced iaitu sistem maklumat hibur canggih dan mudah untuk digunakan.
Ruang dalaman 308 juga mengutamakan keselesaan dan menyediakan lebih ruang untuk pemandu serta penumpang jentera tersebut.
Pengguna juga diberikan empat pilihan enjin bagi Peugeot 308 iaitu satu dikuasakan petrol, satu dikuasakan diesel, manakala dua lagi enjin plug-in hibrid.
Enjin-enjin tersebut dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan dan automatik. Bagaimanapun, bagi 308 berenjin hibrid hanya dipadankan dengan transmisi automatik.
Pengarah Urusan Peugeot United Kingdom, Julie David berkata, kelas kereta keluarga kompak kekal menjadi antara segmen paling penting dan kompetitif yang mana Peugeot mempunyai rekod baik berkenaannya.
“Justeru, amat mengujakan untuk melancarkan 308 baharu yang merupakan salah satu daripada jentera paling efisien, praktikal dan berteknologi tinggi dalam pasaran.
“Dengan penawaran enjin hibrid buat kali pertama, 308 baharu membuktikan komitmen kami untuk mempunyai varian elektrik dalam setiap model menjelang tahun 2025,” katanya.
Model 308 generasi ketiga itu didedahkan baru-baru ini dan bakal memasuki pasaran Eropah terlebih dahulu sebelum ke rantau yang lain.
Jarak antara roda hadapan dan belakang 308 terbaharu ini ditambah sebanyak 55 milimeter (mm) bagi memastikannya menyediakan ruang lebih luas bagi pengguna. Ia menjadikan kereta itu 11mm lebih panjang daripada model sebelum ini.
Selain itu, jentera tersebut dikurangkan ketinggiannya sebanyak 20mm agar tampil lebih garang. Begitupun, lebarnya tidak berubah berbanding generasi terdahulu.
Penggunaan logo baharu yang menampilkan kepala singa di gril hadapan itu juga bersifat praktikal kerana dikatakan direka mampu menghalang radar.
Kesemua varian 308 didatangkan dengan lampu hadapan diod pemancar cahaya (LED) yang dipadankan dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED.
Antara ciri yang menjadi identiti bagi 308 juga adalah rekaan lampu belakang dan spoiler jentera tersebut.
Di bahagian dalamnya, kluster instrumen digital dengan paparan bersaiz 10 inci didatangkan bersama fungsi wajib bagi sebuah jentera moden seperti bantuan pemanduan dan sistem navigasi.
Bagi salah satu varian juga, kluster instrumennya didatangkan dengan paparan 3D.
Stereng 308 juga hadir dengan beberapa teknologinya tersendiri, seperti sensor bagi mengesan tahap genggaman pemandu ketika menggunakan bantuan pemanduan.
Tempat duduk hadapannya juga boleh dilaraskan secara elektronik sehingga 10 tetapan mengikut pilihan pemandu, malah turut didatangkan dengan fungsi mengurut dan pemanas tempat duduk.
Ia juga dibaluti dengan material berkualiti tinggi seperti kulit Alcantara dan Nappa, bergantung kepada varian pilihan pengguna. Jahitan berwarna kontras Adamite digunakan di papan pemuka, panel pintu dan konsol tengah 308.
Tidak lengkap sebuah jentera moden tanpa teknologi keselamatan terkini dan Peugeot 308 turut tidak terkecuali. Antara ciri keselamatan pada kenderaan ini termasuklah Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop and Go serta Lane Keeping Assistance.
Selain itu, turut dilengkapi ialah amaran perhatian pemandu, lampu suluh tinggi automatik dan brek kecemasan automatik.
Ruang penyimpanan barangan juga luas iaitu 412 liter, dengan tambahan 28 liter tersorok di lantai ruang tersebut. Apabila kerusi belakang dilipat, kapasiti maksimumnya menjadi 1,323 liter.
Peugeot 308 menggunakan rim aloi hitam bersaiz antara 16 hingga 18 inci.
Model baharu ini ditawarkan dalam tujuh pilihan warna iaitu Olivine Green (hijau), Bianca White (putih), Cumulus Grey (kelabu), Nera Black (hitam), Pearlescent White (putih), Vertigo Blue (Biru) dan Elixir Red (merah).
Jentera yang dibina di kilang Mulhouse, Sausheim, Perancis itu akan ditempatkan di bilik-bilik pameran syarikat automotif tersebut pada penghujung tahun ini.