KAHERAH – Lima orang terkorban dan lebih 20 yang lain cedera selepas sebuah bangunan di daerah Gesr Suez di ibu kota Mesir, Kaherah runtuh hari ini.
Pejabat Gabenor Kaherah dalam satu kenyataan berkata, insiden melibatkan sebuah bangunan yang terdiri daripada ruang bawah tanah, tingkat bawah dan sembilan tingkat atas.
“Bilik krisis kerajaan menerima maklumat kejadian pada pukul 3 pagi (waktu tempatan). Seramai lima orang disahkan terkorban, manakala 24 orang cedera dalam kejadian itu.
“Gabenor Kaherah, Khaled Abdel Aal telah pergi ke lokasi kejadian diiringi pasukan perlindungan sivil,” kata kenyataan itu.
Beliau turut mengarahkan supaya satu jawatankuasa teknikal dibentuk untuk memeriksa bangunan di kawasan sekitarnya dan menilai impak akibat runtuhan itu.
Mesir mengalami banyak insiden bangunan runtuh yang meragut nyawa manusia sejak beberapa tahun lalu yang antara lain berpunca daripada kerosakan premis dan tidak mematuhi peraturan pembinaan. – AFP