SEPANG – Kerajaan dalam proses menggubal draf Rang Undang-Undang (RUU) khusus untuk warga emas bagi tujuan memperkukuhkan perundangan sedia ada.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, draf RUU itu nanti akan memberi fokus kepada hak, perlindungan dan kesejahteraan warga emas.
“Jika dilihat, RUU khusus untuk warga emas ini tidak pernah ada dan kementerian melihat ada keperluan di situ sebagai persediaan negara mencapai status negara tua menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Pengoperasian Tahunan dan Penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) baharu Zon Tengah 2021 di Hotel Empress di sini hari ini.
Beliau berkata, KPWKM kini sedang melaksanakan sesi konsultasi dan libat urus bersama-sama pemegang taruh termasuk di negeri-negeri bagi memastikan RUU itu holistik, lengkap dan bersesuaian dengan konteks negara.
“Kerajaan menyasarkan RUU ini akan dibentangkan di Parlimen pada tahun depan,” katanya. -K! ONLINE