Pemilik kapal mega yang mengakibatkan laluan Terusan Suez di Mesir tersekat berharap kapalnya dapat diapungkan seawal hari ini ketika krisis tersebut memaksa syarikat-syarikat perkapalan menggunakan laluan lain di sekitar Afrika.
MV Ever Given yang memiliki panjang lebih daripada empat padang bola sepak, terkandas dalam keadaan melintang di terusan itu sejak Selasa lalu.
Pada satu sidang akhbar di Jepun semalam, Presiden syarikat Shoei Kisen yang memiliki kapal tersebut memberitahu media tempatan bahawa tiada tanda kerosakan enjin dan peralatan lain pada kapalnya.
“MV Ever Given tidak dimasuki air. Kipasnya juga tiada masalah. Sebaik sahaja diapungkan, kapal itu sepatutnya boleh belayar,” kata Yukito Higaki di bandar Imabari, barat Jepun kepada akhbar Asahi Shimbun.
Tambahnya, syarikat tersebut bercadang membebaskan kapal itu ‘malam esok waktu Jepun’
“Kami meneruskan kerja mengalihkan mendapan pasir menggunakan peralatan menggorek tambahan,” kata Higaki.
Halangan itu mengakibatkan kesesakan teruk melibatkan lebih 200 buat kapal di kedua-dua hujung terusan sepanjang 193 kilometer tersebut sekali gus mengakibatkan kelewatan penghantaran minyak mentah dan produk lain.
Menurut firma data dan berita perkapalan Lloyd’s List, syarikat-syarikat perkapalan terpaksa berdepan risiko mengambil laluan lebih jauh melintasi Tanjung Pengharapan untuk sampai ke Eropah atau pantai timur rantau Amerika Utara.
“Kapal kargo pertama melakukan demikian adalah kapal MV Ever Greet dan ia mengambil masa tambahan 12 hari,” kata Lloyd’s List.
Masalah tersebut menyebabkan kargo dianggarkan bernilai AS$9.6 bilion (RM39.8 bilion) antara Asia dan Eropah tergendala setiap hari. – AFP