SETIAUSAHA kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chan meletakkan sepenuh keyakinan kepada bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo apabila bakal menyertai Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA 2021 Jepun pada 18 hingga 23 April depan.
Kejohanan itu adalah sesi kelayakan terakhir ke Olimpik Tokyo pada Julai nanti dan Mae Chan mengakui Jun Hoong kini dalam prestasi terbaik, malah tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Saya yakin dia tidak berdepan sebarang masalah untuk melepasi syarat kelayakan ke Sukan Olimpik. Keadaannya juga baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang dihimpitnya sebelum ini.
“Saya juga melihat dia seorang atlet kuat semangat dan menjalani latihan dengan begitu baik. Saya harap dia dapat mengulangi pencapaian terbaiknya untuk layak ke Olimpik sekali lagi bersama pasukan negara.
“Untuk layak ke Olimpik dalam acara individu atlet negara hanya perlu menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Jika Jun Hoong layak ke Olimpik, pasti dia dapat mengulangi pencapaian empat tahun lalu ketika meraih perak pada Sukan Olimpik Rio dalam acara 10 meter seirama bergandingan bersama Pandelela Rinong.
Kali terakhir Jun Hoong beraksi pada saingan kompetitif adalah pusingan akhir Siri Terjun Dunia di Kazan, Rusia pada Mei 2018 apabila dia memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama bersama seorang lagi penerjun negara, Pandalela Rinong.
Sejak itu, Jun Hoong menjalani rawatan apabila mengalami kecederaan sekali gus memaksanya untuk menarik diri daripada Sukan Asia Indonesia pada Ogos 2018.