fbpx

Caster meriahkan kejohanan MES

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH (kanan) akan bergandingan dengan Khairul Afiq untuk mengulas setiap aksi melibatkan permainan video PUBG sehingga tamat kejohanan MES bermula semalam.

SASARAN sebanyak 300,000 tontonan secara keseluruhan daripada peminat e-Sukan dari 10 buah negara memastikan penganjuran Malaysia Esports Series 2021 (MES) tidak boleh dilakukan secara semberono.

Oleh itu, MES yang dianjurkan secara kerjasama oleh My Events International dan Kelab Esports THQ telah membuat inisiatif dengan menarik minat penonton untuk melihat penstriman secara langsung dengan bermula di pe­ringkat kelayakan yang bermula semalam

Memandangkan dunia masih dilanda dengan pandemik Co­vid-19, penganjuran kejohanan e-Sukan berskala besar ini terpaksa dilakukan secara online sahaja sehingga peringkat final pada 11 April depan.

Bagaimanapun, kemeriahan tetap dapat dirasai apabila penganjuran kali ini akan dihangatkan dengan kehadiran caster atau pengulas e-Sukan terkemuka tanah air.

Antara yang bakal mengambil bahagian adalah pakar pengulas permainan video e-Sukan bertemakan bola sepak, FIFA iaitu Aiman Roshizam yang lebih mesra dengan gelaran Sekaiichi.

AIMAN atau lebih dikenali sebagai Sekaiichi adalah pakar pengulas permainan video e-Sukan bertemakan bola sepak iaitu FIFA.

Kata Aiman, perasaan cukup teruja untuk ‘menghidupkan’ MES kali ini dan berharap dapat memberikan yang terbaik sepanjang kejohanan itu berlangsung sekali gus menarik minat penonton terutama permainan video FIFA 2021.

“Perasaan cukup berbangga kerana berpeluang untuk memberikan ‘hype’ dan juga menghidupkan permainan FIFA pada MES ini dan akan cuba memberikan yang terbaik buat penonton.

“Saya akan menggunakan pengalaman saya selaku pengulas dan pemain untuk memastikan penyiaran FIFA ini berjalan dengan cemerlang.

“Secara jujur, saya merasakan bahawa kejohanan ini berpotensi untuk menjadi antara siri kejohanan terbesar dan penganjuran kali pertama ini akan memberikan bayangan bagaimana seriusnya semua pihak dalam memajukan industri e-sukan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, pengulas wanita yang semakin meningkat naik namanya dalam industri e-Sukan tanah air, Siti Aishah Mohd. Faudzi yang terkenal dengan gelaran SleepyGodzillas mengakui cukup berterima kasih dengan kepercayaan yang diberikan oleh MES.

AISHAH merupakan pengulas wanita yang semakin meningkat naik namanya dalam industri e-Sukan tanah air dan diberi kepercayaan oleh MES.

“Saya rasa berbangga dan berterima kasih kerana MES sudi mengambil saya sebagai caster untuk kejohanan kali ini bagi permainan video PlayerUnknown Battlegrounds (PUBG).

“Secara jujur, dari segi pengalaman, saya sebenarnya masih baru lagi dalam industri ini terutama dalam bidang casting ke­rana saya bermula dengan hobi melakukan penstriman secara suka-suka sejak tahun lalu.

“Berdasarkan apa yang saya lihat, pihak penganjur MES berjaya merencanakan penganjuran kejohanan ini dengan teliti dan saya harap sasaran keseluruhan penonton dapat dicapai,” kata­nya.

Aishah akan digandingkan bersama pengulas kelahiran Negeri Sembilan, Khairul Afiq Kamarulzaman bagi mengulas setiap aksi melibatkan permainan video PUBG sehingga tamat kejohanan MES nanti.

Khairul mengakui MES adalah medan terbaik untuk pemain-pemain e-Sukan mencungkil bakat mereka terutama apabila berpeluang bersaing dengan atlet profesional.

“Saya tidak sabar nak tengok para pemain beraksi untuk MES kali ini. Secara peribadi, MES akan menjadi platform yang boleh membuka peluang untuk pemain-pemain amatur dirisik oleh pasukan besar jika mempamerkan prestasi memberangsangkan,” katanya.

Sebagai rekod, MES menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM20,000 bagi kejohanan FIFA 2021, RM40,000 bagi Mobile Le­gends Bang Bang manakala RM40,000 juga bagi permainan PUBG.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI