DOHA – Johann Zarco enggan menoleh ke belakang malah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pasukan baharunya musim ini untuk memburu kemenangan dan podium bersama jentera Ducati pada perlumbaan pembukaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) esok.
Dua tahun lalu, Zarco sepatutnya berada di puncak karier bersama Tech3, namun selepas pasukan itu beralih daripada jentera Yamaha kepada KTM, prestasinya terus jatuh sebelum membuat keputusan meninggalkan pasukan tersebut pada penghujung musim 2019.
Keputusannya itu dianggap tepat apabila pelumba Perancis berkenaan berjaya menaiki podium semula bersama pasukan Reale Avintia Racing dan aksi cemerlangnya itu membuat Ducati memanggilnya untuk menyertai pasukan Pramac Racing.
Ducati memberi sokongan penuh kepada Zarco dan memberi kepercayaan untuk menggunakan jentera terbaharu iaitu Ducati GP21 menjelang aksi pembukaan di Litar Antarabangsa Losail esok.
“Ini adalah masa terbaik untuk saya meraih kemenangan dan menaiki podium. Semuanya sudah lengkap dan jentera juga sangat laju. Pasukan juga telah menyediakan jentera yang cukup baik sewaktu sesi ujian baru-baru ini.
“Saya memahami karakter jentera Ducati dan saya sudah bersedia untuk mempamerkan aksi yang lebih baik berbanding musim lalu. Secara fizikal saya telah melakukan persiapan lebih baik berbanding sebelum ini. Saya tidak mengalami sebarang kecederaan dan bersedia untuk memburu podium,” katanya.
Meskipun Zarco memecahkan rekod kelajuan tertinggi ketika ujian pramusim di Losail, namun dia yakin saingan musim ini bukan mudah kerana rata-rata pasukan turut mempamerkan aksi yang cukup kompetitif.
“Saya menjangkakan perlumbaan musim ini lebih sukar kerana setiap pelumba menampil catatan terbaik mereka.
Kami tahu Suzuki akan kuat di akhir perlumbaan dan Ducati juga tampil hebat di litar ini. Saya yakin Jack Miller dan Francesco Bagnaia mahu menaiki podium. Saya harap dapat bersama mereka nanti,” tambahnya. – AGENSI