TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas sebanyak 4,000 helai kain tudung seludup yang dipercayai untuk dijual sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi di pangkalan haram Simpangan di sini semalam.
Rampasan tudung bernilai RM160,000 pada pukul 7 petang itu hasil rondaan rutin yang dilakukan oleh PGA menerusi Op Benteng Covid-19 di sempadan negara.
Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, selain kain tudung, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipercayai digunakan sewaktu aktiviti penyeludupan.
Menurutnya, semasa melakukan rodaan, anggota PGA telah terserempak dengan kereta tersebut yang berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
“Apabila menyedari kehadiran anggota PGA, pemandu kereta itu telah bertindak melarikan diri ke negara jiran dengan menaiki perahu.
“Pemeriksaan ke atas kereta itu telah membawa kepada penemuan bungkusan plastik yang diletakkan di tempat duduk belakang dan bonet,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Azizan memberitahu, pemeriksaan lanjut di dalam plastik itu telah menjumpai sebanyak 4,000 helai tudung wanita.
Katanya, PGA tidak menolak kemungkinan tudung-tudung itu akan dijual sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.