LOSAIL – Permulaan baharu buat pasukan Monster Energy Yamaha dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini apabila tampil tanpa kelibat juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi.
Yamaha akan mempertaruhkan Maverick Vinales dan Fabio Quartararo bagi kembali merebut kejuaraan dunia yang dimenangi pelumba Suzuki, Joan Mir tahun lalu.
Pengarah pasukan Monster Energy Yamaha, Massimo Meregalli berkata, pasukan itu yakin mampu mencatat keputusan positif pada Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail hujung minggu ini.
“Perlumbaan pertama setiap musim sentiasa menjanjikan saingan menarik kerana ia menjadi medan untuk menguji kemampuan jentera pada saingan kompetitif.
“Kami rasa yakin kerana Yamaha catat keputusan positif pada sesi ujian sebelum ini. Penunggang uji serta jurutera pasukan sudah bekerja keras menyediakan jentera terbaik,” kata Meregalli.
Dalam pada itu, Vinales percaya pasukannya sudah bersedia sepenuhnya meskipun tempoh yang diberikan untuk menguji jentera masing-masing terlalu singkat.
“Tempoh sesi ujian musim sejuk kali ini tidak terlalu panjang tetapi saya yakin ujian di Qatar menunjukkan petanda positif. Sekarang sudah tiba masa untuk berlumba dan membuktikan kemampuan yang kami miliki musim ini,” ujar pelumba Sepanyol itu. – AGENSI