UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 selepas berhempas pulas untuk mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Maybank di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Kemenangan itu mengesahkan kejayaan UniKL bergelar juara liga biar apa pun keputusan diraih pencabar terdekat di tangga kedua, Pasukan Hoki Terengganu (THT) menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi terakhir malam ini.
“Saya memang sudah jangka aksi sengit hari ini (semalam) disebabkan kualiti para pemain Maybank. Ia juga bukan satu perkara mudah kerana kami bermain dengan 10 orang pada 10 minit terakhir,” kata ketua jurulatih UniKL, Megat Azrafiq Megat Termizi.
Penyerang prolifik skuad negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil muncul wira buat UniKL apabila meledak jaringan kemenangan menerusi kuisan mudah ke dalam gawang gol Maybank pada minit ke-49.
“Saya boleh dikatakan bernasib baik bola betul-betul di hadapan saya ketika itu. Alhamdulillah kami berjaya menang ke atas Maybank yang bermain dengan sangat baik mengasak gawang kami pada hujung permainan.
“Saya gembira kerana kami berjaya mengekalkan kejuaraan liga walaupun kami tidak bermain baik hari ini (semalam). Sekarang fokus untuk cuba pertahankan gelaran Piala TNB selepas ini,” kata Tengku Ahmad Tajuddin.
Ia adalah gelaran kedua dimenangi skuad bimbingan Megat Azrafiq musim ini selepas menjuarai Piala Sumbangsih dengan menewaskan THT 4-3 menerusi penentuan penalti shoot-out pada 12 Mac lalu.
Kini, UniKL berpeluang menyamai pencapaian memenangi tiga kejuaraan dilakukan musim lalu jika berjaya menjulang Piala TNB yang akan membuka tirai dengan saingan separuh akhir pertama pada Ahad ini.