PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) telah memberi lesen haji kepada 22 syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi tahun 2021.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pelantikan 22 PJH itu adalah sebahagian daripada pelan persediaan awal haji yang dilakukan oleh syarikat.
“Sehingga kini, kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun 1442H/2021M daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
“PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan berhubung pakej-pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan lesen PJH di Menara TH baru-baru ini.
Semua wakil PJH yang hadir pada majlis tersebut diberi taklimat berkaitan norma baharu pelaksanaan ibadat haji pada musim pandemik Covid-19.
Syed Saleh menjelaskan, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa memperoleh kelulusan adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Justeru, katanya, TH berharap orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga kerana TH tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji.