PETALING JAYA – Pelakon dan juga pengacara Janna Nick sekali lagi menjadi buah mulut netizen selepas berkongsi gambar sedang memangku kekasihnya yang juga pelakon, Dini Azan Schatzmann.
Menerusi perkongsian tersebut, Janna memuat naik beberapa foto termasuk foto sedang memangku Dini dalam keadaan berhijab bersempena berakhirnya tayangan drama Marry Me Senorita di televisyen beberapa hari lalu.
Gara-gara tindakan tidak manis Janna, pelakon itu dikecam netizen apabila rata-rata berpendapat perbuatan tersebut tidak sepatutnya dilakukannya memandangkan dia dan Dini masih belum mempunyai sebarang ikatan yang sah.
“Kak Janna tolong jaga batas perempuan,” tegur salah seorang pengikutnya dalam Instagram.
Seorang lagi pengguna Instagram turut menasihati Janna supaya tidak terikut-ikut dengan budaya masyarakat Barat.
“Tak payah nak ikut sangat budaya Barat tu,” ujarnya.
Sementara itu, ada juga komen nakal daripada netizen dan rakan artis yang mengagumi kekuatan Janna menampung berat Dini.
“Dia boleh pangku Dini eh?” tegur rakan artis Awal Ashaari.
“Tak berat ke Dini? Duduk atas riba Janna. Sweetnya (manisnya),” komen seorang pengikutnya.
Ini bukan kali pertama Janna ditegur netizen kerana perbuatannya. Terdahulu, hangat diperkatakan apabila Janna bertikam lidah dengan netizen dalam laman Twitter. Malah, dia turut dikecam apabila menggelar seorang netizen sebagai ‘loser’ (tak guna).
Bahkan, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 26, pernah memohon maaf secara terbuka kepada netizen yang pernah terguris hati dengan perbuatannya sebelum ini.
Dalam sebuah video yang dimuat naik Janna menerusi Instagramnya, dia telah meminta maaf sambil menangis kepada semua pengikut atas perbuatannya yang sering mengeluarkan kenyataan mengundang kecaman. – K! ONLINE