PETALING JAYA – Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang meloloskan diri ketika dikejar polis di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tindakan pantas polis berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Bukit Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
“Suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 27 tahun itu cuba menyembunyikan diri di belakang rumahnya sebelum ditahan pihak polis kira-kira pukul 8.30 malam semalam.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga kes dadah dan empat kes jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nik Ezanee berkata, hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku terlibat dengan kes yang disiasat.
“Suspek ditahan selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah penjawat awam.
“Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan tindakan seorang pemandu kereta Proton Satria cuba merempuh anggota polis yang sedang bertugas telah mendorong pihak berkuasa untuk melepaskan satu das tembakan.
Kejadian berlaku ketika polis dari Balai Polis Damansara mengejar kereta berkenaan di Jalan Anggerik, Kampung Sungai Kayu Ara kira-kira pukul 2.25 petang semalam. – K! ONLINE