PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menyifatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang berakhir semalam adalah peperiksaan yang paling mencabar dalam sejarah pelaksanaannya.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, KPM memaklumkan pihaknya melalui hari-hari mencabar dalam sejarah 57 tahun melaksanakan peperiksaan SPM.
“Buat julung kalinya peperiksaan SPM 2020 mengikut Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam iaitu perkara 10 dalam Garis Panduan Pengoperasian dan Pengurusan Sekolah dalam Norma Baharu 2.0.
“Garis panduan baharu itu diperkenalkan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengurusan pentaksiran pusat dan peperiksaan awam,” katanya.
Katanya, Kertas 1 Sains Komputer petang semalam adalah kertas terakhir bagi peperiksaan SPM bagi tahun 2020 yang bermula pada 22 Februari lalu.
KPM merakamkan tahniah kepada 401,105 calon mendaftar peperiksaan SPM 2020 bagi 83 kertas peperiksaan di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara.
“Tahniah juga kepada 48,014 petugas peperiksaan yang dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPM 2020,” katanya. K! ONLINE.